Bernama
10/9/2012
KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus yang
terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan
dibentangkan di Parlimen 28 Sept ini.
Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata sebelum ini CUEPACS memohon
kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan
pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.
"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik
yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus
sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana
Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu
Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini Ahad.
Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan
transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang
melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada
jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian,
pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.
-- BERNAMA