Tuesday, September 06, 2016

Hari ke-8 hari pembedahan si Nurul

<3 Assalamualaikum <3

04/7/2016
Hari pembedahan Nurul sudah tiba. Awal pagi sebelum Nurul di pindahkan ke Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik, jururawat yang bertugas di PICU akan memandikan Nurul dengan cecair pembasmi kuman. Seluruh badan Nurul dilap sebelum dia di pindahkan ke tingkat 8 CICU.
Selepas Nurul dibawa naik ke tingkat 8, Nurul di letakkan di tepi tingkap dalam wad itu terdapat cuma satu katil yang ada pesakit. Menurut jururawat bertugas, pesakit tersebut berada di dewan pembedahan yang cuma di sebelah pintu sahaja.Nurul bertanya "bila pesakit itu akan siap?" Nurse jawab "petang sikit lah sebab pembedahan jantung ni mana siap 2-3 jam mungkin jam 2 atau 2.30 begitu dia keluar suda" begitulah penerangan nurse sama kami mesra dan tidak lokek bagitau apa yang terjadi.
Pada jam 1 petang Nurul tertidur dan bangun semula jam 2 petang. Dia lihat katil di depan dia masih kosong tapi tiada katil. "Lambat juga..." dia merungut. Nurse yang sedang menulis di depan katil dia tergelak. "kenapa Nurul? Ko nda sabar sudah? Sabar lah... kejap lagi tu uncle keluar sudah tu...Siap sudah diorang di dalam tu.." Mesra betul Nurse. 
Tidak lama lepas tu keluar beberapa orang staf dari dewan bedah menuju ke katil Nurul. Saya nampak Dr. Chen Chen. "Mama, kami mau pasang IV line sama Nurul. Kami tidak pakai line yang lama, Kami akan cari urat yang lebih besar untuk memasukkan bius dan ubat-ubatan Nurul. Line ini kena pakai sampai dia habis bedah lah" tabir katil ditarik untuk menutup pesakit semasa prosedur dijalankan.
Lepas beberapa minit prosedur siap saya nampak Nurul di pasang tiub di kiri kanan tangan dia tapi bukan di bahagian yang selalu kita kena pasang tu. Jarum dimasukkan di urat di bawah tangan (urat besar) kena panggil V line (vena line). Nurul cakap dia mau lelap sekejap. Saya pun keluar ke ruang lobi depan lif dan menelefon ayahnya. Tidak lama datang ayah Nurul kami tunggu sekejap masing-masing dengan fikiran sendiri. Tidak lama lepas tu pengawal keselamatan yang berada menjaga di depan pintu wad memanggil kami bagitau yang doktor panggil masuk.
Jumpa Dr. Chen Chen "pergi lah jumpa anak, sekejap lagi kami mau tolak dia masuk..." saya lihat uncle yang berada di depan katil Nurul sudah ada dan masih belum sedar.Saya dan suami cium dahi Nurul kami bagi dia kata-kata semangat. Ayah Nurul cakap "jangan lupa zikir nak... ingat Allah" Nurul senyum saja. "iya..." itu saja yang Nurul mampu ucap sama kami.
lebih kurang jam 3.30petang Nurul ditolak masuk ke dalam dewan pembedahan. Hanya doa saja yang mampu kami iringi bersama semangat dia.
7 jam menunggu, kami berada di lobi hospital mandi tiada makan pun tiada selera. Mana lagi terfikir tu semua, tumpuan hanya sama Nurul. Sekali sekala terima panggilan dari keluarga tanya tentang Nurul. Kami cuma cakap masih dalam dewan bedah. Lebih kurang jam 10.30pm kami terima panggilan dari wad untuk berjumpa dengan Mr. David, sampai di wad kami belum nampak Nurul di tempat dia. Mr. David cakap dia masih dalam dewan bedah untuk last touch up 'tutup luka bedah'. Mr. David bagitau risiko Nurul lebih tinggi dari pesakit stabil sebab dia dibedah dalam keadaan jantung dia bengkak dan berfungsi hanya 25% sahaja. Risiko ini adalah 20-40% lebih tinggi. Kini hanya berharap dia dapat melepasi tahap kritikal "kalau dia boleh melaluinya sampai besok pagi, bererti dia oke lah.." itu saja yang doktor pakar tu cakap. Dengar saja ayat ni saya merasakan tempat saya berpijak tu tiba-tiba berlubang dan buat saya rasa jatuh dari tingkat 8 ke tingkat paling bawah. Lutut saya lemah, tapi saya kuatkan juga semangat selama beberapa jam menunggu tu saya cuba untuk tidak menangis takut Nurul akan merasa apa yang saya rasa. Tapi lepas saja keluar dari wad dan teringat apa yang Mr. David cakap, saya tidak dapat tahan dan terus menangis dalam kereta.

5/7/2016
Tidak sabar mau jumpa Nurul. Nasib baik Mr. David bagi kami kelonggaran untuk melawat Nurul bila-bila masa yang kami mau. Jururawat dan pengawal keselamatan pun bagi kerjasama terutama sekali pengawal keselamatan yang perempuan kalau yang lelaki dan jarang-jarang jaga sana memang tidak bagi kami masuk. Terpaksa tunggu nurse panggil baru dapat masuk. Awal pagi tu kami masuk jumpa Nurul dia masih belum sedar tiub pernafasan masih dalam mulut Nurul mengalir air mata tengok keadaan Nurul. Saya nampak ada air mata bertakung di kelopak mata dia. Ayah Nurul tanya kenapa mata Nurul berair sama tu nurse. "oooh, dia oke tu... kejap lagi dia sedar betul tu. Sekarang ni itu bius mau hilang-hilang sudah tu." ya lah diorang lebih berpengalaman dan tahu keadaan pesakit kan."nanti tengahari kamu tengok dia sedar sudah tu" sambil dia senyum sama kami. Saya cium Nurul dan bagitau yang kawan rapat dia Anas kirim salam cikgu Lee pun kirim salam sama Nurul. Saya tau Nurul memang rapat dengan guru praktikal ni yang sekarang sudah balik Sarawak, itu yang Nurul bagi tau lah.
Tengahari, balik tengok Nurul di wad. Dia tersenyum tengok kami, Alhamdulillah...... dia sudah sedar dan tiub di mulut pun sudah buka.Nurse bagitau dia sudah boleh makan makanan yang lembut-lembut macam bubur atau nestum. Minum pula apa saja yang penting kena sukat kali ni tiada sukat Nurul boleh minum berapa banyak yang dia suka dan apa saja yang dia mau. Tapi itulah, setiap kali minum kena sukat berapa banyak dia minum dan berapa banyak juga yang keluar.Ada tiub ubat yang ditebuk di urat leher Nurul untuk memasukkan ubat-ubatan terus kedalam darah Nurul semuanya hampir 10 jenis ubat kebanyakannya ubat untuk menguatkan jantung Nurul. Dua tiub lagi ditebuk dibadan Nurul untuk mengeluarkan air dari dalam paru-parunya.Ada dua wayar kecil yang bersambung dari portable pacemaker (perentak jantung mudah alih) terus ke jantungnya untuk mengawal rentak jantung Nurul serta monitor keadaannya.
Petang pula kami bagitau yang mau pulang ke rumah sekejap mau tengok adik-adik dia. Memang berat hati saya mau pulang tapi Nurul cakap "Ibu pulang lah tengok adik-adik kesian Nazri (adik bungsu dia) lama sudah dia nda nampak ibu.. aku pun rindu sama Nazri juga.." Malam takbir raya kami pulang rumah. Sedih tinggalkan Nurul di wad sendiri-sendiri tapi bila ingat ada nurse yang sanggup bersengkang mata jaga pesakit dan kami pun memang tidak dibenarkan menemani pesakit semasa di wad rawatan rapi kami terpaksa pulang rumah. Terima Kasih kepada jururawat dan doktor yang sanggup bersengkang mata menjaga dan rajin bawa Nurul bercerita sepanjang masa dia di Wad.

Raya pertama Nurul masuk ke dewan bedah lagi....
Nanti Ennor cerita apa yang terjadi.

Pesan EpZ : Walaupun hati risau mengenangkan anak yang sakit, jangan lupakan anak-anak yang lain nanti takut diorang kecil hati pula.

Pre-op hari 6 dan 7 si Nurul

<3 Assalamualaikum <3

Hari-hari seterusnya.

2/7/2016
Berjumpa dengan pakar bius. Dr. Chen Chen.
Dia terangkan  semua prosedur yang akan dilakukan keatas Nurul pada hari pembedahan sebelum, semasa dan selepas pembedahan.
Risiko 4 kali ganda lebih tinggi kerana keadaan jantung Nurul yang sangat kritikal. Berbanding dengan pesakit biasa sekurang-kurangnya keadaan jantung adalah 50% berfungsi untuk mengurangkan risiko pesakit semasa dan selepas pembedahan. 
Risiko stroke, kematian semasa pembedahan dan risiko akan koma juga diberitahu satu persatu. Genggaman tangan saya menjadi lebih erat di tangan suami. Suami cuma mengusap-usap tangan saya. Dr. Chen Chen memberi penerangan sambil bersilih ganti memerhati wajah kami berdua. Saya dan suami menandatangan borang kebenaran bius dan transfusi darah.
Suami berkata dengan doktor. "Kamu lebih pakar dan lebih tahu apa yang mau buat. Kami serahkan saja kepada kepakaran kamu" Doktor jawab "Ya kami cuba, semuanya terpulang kepada semangat Nurul dan doa kita semua" mengalir air mata saya sebab terharu dan sedih.

3/7/2016
Tandatangan borang kebenaran pembedahan tangan suami terketar-ketar untuk menurunkan tandatangan, namun kami serahkan semuanya kepada Allah s.w.t. Kemudian saya dan suami memohon penderma darah untuk anak kami. Darah yang diperlukan adalah 8 pain untuk persediaan walaupun doktor cakap mungkin tidak digunakan semuanya tapi untuk persediaan saja.Kami viralkan di whatsapp dan juga FB. Alhamdulillah walaupun jenis darah yang diderma tidak sama (sebab jenis darah Nurul adalah B+ve) sekurang-kurangnya bekalan darah di pusat tabung darah sentiasa mencukupi. Tidak kami sangka penderma sangat ramai dan ada yang kami tidak kenali dari seluruh pelusuk Sabah.Terima kasih kepada penderma darah untuk anak kami Nurul Fathihah Binti Ishak (ic040323-12-**94) hanya Allah saja yang akan membalas jasa budi baik kalian semua.

Pesan EpZ: Kalau mau derma darah tidak perlu tahu apa jenis darah yang diperlukan oleh si penerima. Derma saja, sebab pusat tabung darah sentiasa simpan bekalan darah dari pelbagai jenis darah.

Pre-Op Hari ke 5 si Nurul

<3 Assalamualaikum <3

Hai hello 
Ennor minta maaf lama tak update blog..

Oke hari tu Ennor suda janji untuk sambung cerita masa Nurul masuk wad.

Hari ni Ennor sambung.
(mungkin lebih ringkas)

1/07/2016
Tarikh pembedahan telah ditentukan selepas Dr. Siva berbincang dengan Pakar Bedah Kardiotorasik Mr. David.
Dr. Nurul Ain datang berjumpa dengan kami suami isteri dan berbincang di salah satu bilik kecil dalam wad ICU. Dia terangkan tarikh pembedahan telah ditentukan pada 04/07/2016 sesi petang selepas pembedahan pesakit pertama sudah selesai.Dr. Nurul juga menerangkan kepada kami bahawa keadaan jantung Nurul sangat kritikal hanya 25% sahaja yang berfungsi tetapi denyutan sangat laju sehingga mencapai 140bpm. Bagi keadaan macam ni, pesakit sepatutnya 'ditidurkan' untuk menstabilkan denyutannya sehingga tarikh pembedahan. 
Dr. Nurul menerangkan risiko yang akan dihadapi oleh Nurul semasa pembedahan. Termasuklah risiko kematian semasa dalam pembedahan dan strok. Hati ibu bapa mana yang dapat tahan kalau sudah macam ni. Kami cuma menahan saja sebak di dada. Dr. Nurul juga beri penerangan yang Nurul akan diberikan bius sepenuhnya dan juga memerlukan sekurang-kurangnya 3 - 5 pain darah semasa pembedahan. 
Sebelum Dr. Nurul bersurai dia menasihatkan kepada kami supaya kuatkan semangat dan kalau boleh jangan menangis di depan Nurul takut Nurul akan lemah semangat. 
Kami berterima kasih atas penerangan jelas dari Dr. Nurul dan berjumpa dengan anak kami Nurul. Saya cuba untuk senyum sebaik mungkin, ayah Nurul mengusap ubun-ubun Nurul saya mencium pipi Nurul kiri kanan. Sampai Nurul cakap dia rimas.Aduh anak ibu sempat lagi mengusik.
Datang nurse mau bagi ubat saya dan suami bergerak dan belum sampai di pintu keluar kami singgah di satu bilik utiliti dalam wad itu dan berpelukan sambil menangis. Saya memeluk erat badan suami begitu juga dia sambil menangis teresak-esak. Selama 14 tahun kami berkahwin tidak pernah saya nampak dia menangis begitu.Saya merasakan ada tangan mengusap belakang badan saya rupa-rupanya Dr. Nurul yang cuba menenangkan kami berdua. Dia cakap kami perlu bersabar dan banyakkan berdoa.
Petang tu datang seorang nurse dari wad CICU (Wad Rawatan Rapi Kardiotorasik) memberi 'Palm Talk' taklimat ringkas sebelum dan selepas pembedahan. 
Saya setia bersama Nurul di PICU. Ada satu kali saya tanya si Nurul "Non, ko tau ka hari isnin hari pembedahan ko?" Nurul mengangguk. "Ko sudah bersedia?" "Ibu, cukup bersedia sudah aku ni.." itu saja yang Nurul jawab saya tahu dia memang tidak tahan sudah menunggu, dia penat sudah dengan penyakit dia ni.Terus saya teringat sehari sebelum saya bawa dia ke kecemasan HQE 1. Dia pernah bertanya.."Ibu bolehkah pembedahan aku ni di kasi awal?" ya dia pernah ajukan soalan ni sama saya. Dan saya pernah update di FB saya, kalau saya ada duit saya akan bawa Nurul buat pembedahan lebih awal di hospital swasta. Tapi saya tak mampu.

Itu saja lah untuk hari ke-5 pre-op Nurul.
Wassalam <3 <3

Pesan EpZ : Mesti ada saja benda atau perkara yang boleh buat kita terimbas kembali apa yang terjadi lebih-lebih lagi kalau perkara tu berkaitan.

Sun