Friday, March 09, 2012

CUEPACS SSM 'GANTI' SBPA HANYA INTERIM

logo cuepacs

SHAH ALAM - Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, berkata Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang hendak digunakan semula sebagai pengganti kepada Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dimansuhkan hari ini, hanya bersifat sementara hingga skim baru yang menyeluruh dirangka kelak.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan memperkenalkan satu sistem saraan yang baru memandangkan SSM digunakan semula dengan SBPA yang pembatalannya diumumkan hari ini.

SSM, yang digunakan hampir satu dekad, diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB). SSB dikuatkuasakan pada Januari 1992.

Kedua-dua SSB dan SSM menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan kerajaan.

"Saya yakin kerajaan akan datang dengan satu sistem yang baru sama sekali, sebab itu kerajaan bentuk satu suruhanjaya bagi menjalankan kajian," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan mengemukakan cadangan tambahan selain berharap suruhanjaya yang dibentuk akan mengkaji segala pandangan yang telah diberikan sebelum ini kepada pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyemak SBPA.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan pagi tadi mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia, Khairil Niza Khairuddin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan membatalkan SBPA dan penambahbaikan skim SSM dengan pelarasan gaji yang lebih adil.

"KPISM juga bersetuju sepenuhnya dengan penubuhan suruhanjaya khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dan kewajaran untuk mengkaji dan mewujudkan skim khusus bagi semua agensi penguatkuasaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, KPISM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana prihatin dan mendengar denyutan nadi setiap penjawat awam khususnya pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen.

Menurut Khairil, KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan sentiasa berbincang dan berhubung rapat dengan Cuepacs dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu di masa hadapan.

"KPISM juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar bersedia memberikan gaji minimum kepada semua penjawat awam khususnya penjawat awam di Kumpulan Sokongan agar ia melepasi garis kemiskinan di bandar," kata beliau lagi.


SUMBER: http://cuepacs.blogspot.com/2012/03/cuepacs-ssm-ganti-sbpa-hanya-interim.html

GAJI,COLA NAIK

NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan
Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PM umum pemansuhan SBPA, Sistem Saraan Malaysia ditambah baik

PUTRAJAYA: Berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam apabila kerajaan semalam mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, selain kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA). Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui TV1 dan TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan 1 Januari lalu tetapi banyak menimbulkan kontroversi, dibatalkan. Kerajaan memutuskan penggajian kakitangan awam dikekalkan di bawah sistem Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM itu menyaksikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana Gred 1 hingga 54 menikmati pelarasan sebanyak 13 peratus.

Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A akan menikmati pelarasan sembilan peratus, Turus III dan II (lapan peratus) dan Turus I serta Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Selain itu, kadar COLA bagi kawasan B (di antara bandar dan pedalaman) dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, manakala untuk kawasan C (pedalaman) daripada RM100 kepada RM150.
Pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang mana penjawat awam akan menerima gaji tertunggak. Difahamkan, gaji baru akan dibayar sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Ia antara tujuh keputusan diumumkan Perdana Menteri pada perhimpunan khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri 15,000 penjawat awam, semalam.

Najib berkata, kerajaan faham SBPA mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam walaupun ia komited untuk mempertimbangkan semakan semula, pelarasan gaji atau satu bentuk saraan baru bagi menggantikan SSM pada tahun ini.

"Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka (penjawat awam), sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah penjawat awam menerusi wakil mereka, CUEPACS, maka kita mengambil keputusan pada 12 Januari lalu supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan, dikaji semula," katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah berdasarkan kepada saranan CUEPACS berkaitan saraan penjawat awam serta implikasi kewangan kerajaan yang mungkin terbabit.

"Anggota perkhidmatan awam adalah tiang seri keramat kerajaan, sebaik mana pun dasar digubal, betapa manfaat pun dasar digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap (kerana) peranan penjawat awam sebagai pelaksana dasar adalah amat penting," katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka dan prihatin dengan isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam yang menyaksikan semakan semula gaji perkhidmatan awam secara berkala dan yang terakhir dilakukan pada 2007 membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.

Najib berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik yang perlu mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi pada masa sama faktor lain terutama keupayaan kewangan kerajaan, tidak diketepikan.

"Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk bersama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu walaupun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global," katanya.

INFO: Keputusan lain yang diumumkan Perdana Menteri

  • Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.

  • Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi gred 1-54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan pelarasan ikut peratus ditetapkan.

  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan.

  • Kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya bagi guru berasaskan prinsip 'time-based' Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.
  • Sun